Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Radar di Andaman, Nicobar tidak berfungsi setiap masa


Beberapa orang kakitangan agensi mencari dan menyelamat Indonesia, memantau perairan Laut Andaman semasa operasi mencari pesawat MH370 yang hilang, semalam. - AFP
NEW DELHI 15 Mac - Sebuah portal berita India hari ini melaporkan, radar tentera milik negara ini di Kepulauan Andaman dan Nicobar, tidak dipasang sepanjang masa, sekali gus meningkatkan kemungkinan pesawat MH370 yang hilang sejak seminggu lalu memasuki kawasan itu tanpa dikesan.
Indianexpress.com yang memetik kenyataan sumber berkata, jika MH370 memasuki lokasi itu, radar tentera yang ditempatkan di kawasan kepulauan terbabit, akan mengesan pesawat itu dengan serta-merta.
Bagaimanapun, pesawat itu dikhuatiri tidak dapat dikesan semasa memasuki ruang udara Kepulauan Andaman atau Nicobar ketika radar tidak dihidupkan.
Malah pengesahan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kemungkinan perbuatan sabotaj terhadap sistem isyarat pesawat akan menyukarkan lagi sistem radar untuk mengesan pergerakan MH370.
Kepulauan Andaman dan Nicobar meliputi kira-kira 572 rantaian pulau dan hanya 37 daripadanya berpenghuni.
Difahamkan, India memiliki empat kemudahan landasan kapal terbang di kedua-dua kepulauan tersebut iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar, Pangkalan Tentera Udara Car Nicobar, Lapangan Terbang Campbell Bay dan Lapangan Terbang Shibpur.
Namun hanya landasan di Veer Savarkar boleh menjadi lokasi pendaratan sesuai untuk pesawat jenis Boeing 777, sama seperti MH370 berbanding pendaratan di pangkalan tentera yang boleh dikesan dengan mudah.
Malah kawasan kepulauan Andaman dan Nicobar merupakan zon ketenteraan dilengkapi sistem pemantauan yang luas di Lautan Hindi, menunjukkan hampir mustahil sebuah pesawat tidak akan dikesan jika memasuki lokasi itu.
Namun satu-satunya kemungkinan yang boleh dibangkitkan adalah kelemahan tentera India yang didakwa tidak memasang radar pada setiap masa. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140316/lu_02/Radar-di-Andaman-Nicobar-tidak-berfungsi-setiap-masa#ixzz2w4Ybw58k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment