Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Polis siasat jurutera berkaitan pesawat MH370 - Hishammuddin


2014/03/16 - 17:02:20
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat jurutera pesawat yang mempunyai kaitan tugas dengan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebelum pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, Sabtu lalu.

"Sebagai prosedur biasa, polis sedang menyiasat semua anak kapal dan penumpang MH370 serta jurutera," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataan di sini hari ini.


Pesawat jenis Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi Sabtu minggu lalu.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Sehingga ini, nasib penumpang dan anak kapal belum diketahui berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan oleh beberapa negara masih belum menemui pesawat itu.

Mengenai operasi SAR, Hishammuddin berkata pegawai Malaysia sedang meminta bantuan daripada 15 negara di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor selatan dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata, negera berkenaan ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis.
"Pegawai Malaysia sedang berbincang dengan semua rakan kongsi cara terbaik untuk menggunakan aset di sepanjang dua koridor tersebut," katanya.

Hishammuddin berkata, perbincangan itu termasuk meminta negara berkenaan terus menyediakan bantuan carian pesawat itu seperti data satelit dan analisis, keupayaan carian di darat, data radar serta aset maritim dan udara.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata penerbangan MH370 menyimpang daripada laluan asalnya menuju ke Beijing dan kemudian terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut.

Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit berlaku di satu daripada dua koridor - utara atau selatan.

Berhubung tindakan polis memeriksa rumah juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, di Shah Alam semalam, Hishammuddin berkata penyiasat sedang memeriksa simulator penerbangan milik Kapten Zaharie di rumahnya.

"Kami memohon orang awam supaya jangan membuat kesimpulan berhubung siasatan polis ini," katanya.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment