Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Polis rampas dadah RM6 juta



Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan pecah rumah dan curi kenderaan yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru , semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 4 Mac - Polis berjaya merampas dadah keseluruhannya berjumlah kira-kira RM6 juta dalam 740 operasi di negeri ini sejak awal Januari lalu sehingga semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, daripada tangkapan yang dijalankan, 615 orang ditahan kerana memiliki dadah, 331 didapati mengedar, manakala 14 lagi di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Beliau berkata, dalam tangkapan terbaharu pukul 11.45 malam kelmarin, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Jalan Peria 2, Taman Seri Lalang, Kota Tinggi dan menahan enam orang termasuk seorang remaja perempuan yang kesemuanya berusia antara 18 hingga 37 tahun.
"Dalam serbuan tersebut, kita telah merampas dadah disyaki heroin seberat 322 gram bernilai RM9,660 dan syabu seberat 102 gram bernilai RM40,800.
"Polis turut merampas selaras senapang angin berserta peluru yang ditemui di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire milik salah seorang suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis syabu, manakala seorang lagi dikehendaki polis berkaitan kes dadah.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan kesemua suspek ditahan reman hingga Ahad ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20140305/wj_01/Polis-rampas-dadah-RM6-juta#ixzz2v2Pgdiy8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment