Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Polis maut ditikam, rakan parah


Anggota polis Forensik memeriksa mayat salah seorang warga asing yang mati ditembak oleh anggota polis peronda yang cedera parah di Taman Sentosa, Klang. - BERNAMA
KLANG 4 Mac - Seorang anggota polis maut ditikam dengan senjata tajam selepas diserang sekumpulan penjenayah dipercayai warga asing semasa meronda di sebatang lorong di Taman Sentosa di sini awal pagi ini.
Rakan setugasnya pula nyaris maut setelah dilibas suspek dengan parang di muka dan kepala manakala dua penjenayah berjaya ditembak mati.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, dan rakan setugasnya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cuba menahan dua lelaki dan tiga wanita dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Raja Aizam telah ditikam di bahagian kepala manakala Mohd. Aidil cedera parah dilibas dengan parang.
"Kita sedang siasat punca kejadian," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Kedua-dua anggota polis yang cedera itu dihantar ke HTAR oleh pasukan bantuan yang tiba kemudian. Bagaimanapun, Raja Aizam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Mohd. Aidil kini masih dirawat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Raja Aizam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan meninggalkan balu, Norsalmah Nordin, 52, dan empat orang anak berusia antara 17 hingga 25 tahun.
Jenazahnya akan dikebumikan di kampung halamannya, Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_01/Polis-maut-ditikam-rakan-parah#ixzz2v2CgQmzM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment