Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Polis KL rampas bom tangan, dua pucuk pistol

WARTAWAN SINAR HARIAN
Polis KL rampas bom tangan, dua pucuk pistol
Mohmad (dua, kanan) menunjukkan sepucuk pistol kepada pihak media di IPKKL, semalam. 
20 Mac 2014
KUALA LUMPUR - Polis menemui sebutir bom tangan dan dua pucuk pistol dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dalam tempoh dua hari.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, polis membuat serbuan pertama di sebuah hotel bajet di Jalan Sarawak, di sini, pada awal pagi kelmarin dan berjaya menahan dua orang lelaki dan seorang wanita.

Menurutnya, selepas berjaya menahan tiga suspek berkenaan, salah seorang daripada mereka membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Baru, Tanjung Sepat, Kuala Langat dan polis berjaya merampas sepucuk pistol jenis revolver .38 Smith & Wilson serta tiga butir peluru jenis .38 bertanda WW.38 dan S&B.38

“Senjata ini dijumpai dalam sebuah beg yang diletakkan di dalam sebuah almari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), di sini, semalam.

Mohmad berkata, susulan dua serbuan berikut, suspek yang sama membawa polis ke sebuah pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam, awal pagi semalam dan berjaya menahan tiga orang lagi lelaki tempatan.

Menurutnya, polis turut berjaya merampas sebiji bom tangan berwarna hijau, sepucuk pistol Auto Siq Sauer 9mm dan satu kelopak yang berisi 11 butir peluru 9mm di dalam sebuah kotak speaker.

“Kami mempercayai bahawa semua senjata api ini diseludup masuk daripada negara jiran dan sedang menyiasat sama ada mereka adalah sebuah kumpulan kongsi gelap atau tidak,” katanya.

Jumlah yang ditahan ialah lima lelaki serta seorang wanita yang berumur lingkungan 25 hingga 41 tahun dan mereka direman bermula kelmarin hingga esok.

Beliau berkata, kesemua suspek terbabit kes jenayah seperti kes bunuh, samun dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment