Search This Blog

Monday, March 24, 2014

Pilu lihat mentua terbujur kaku


Pekan: “Baru beberapa jam kami makan tengah hari bersama, namun saya menerima berita mengejutkan ibu mentua terbabit kemalangan hingga meragut nyawanya,” kata Mohd Azman Ibrahim, 42, menantu wanita warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Pekan-Kuantan di sini, semalam.

Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa Zaliha Abdul Aziz, 78, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan selepas kereta dinaiki bersama dua anak saudaranya terbabas sebelum melanggar motosikal lalu terjunam dalam parit.


Azman berkata, sebelum kejadian, arwah gembira dan bersemangat apabila dapat makan tengah hari bersama anak serta saudaranya yang pulang ke kampung di Taman Perdana, di sini, sempena cuti sekolah.



Katanya, namun sebaik selesai menjamu bersama keluarga, Zaliha mahu ke Taman Sungai Isap Kuantan untuk melawat saudaranya, jam 2.30 petang.


“Bagaimanapun, sejam kemudian saya menerima panggilan memaklumkan ibu mentua terbabit kemalangan.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, luluh hati melihat ibu mentua yang sebelum ini makan bersama dan sempat bergurau bersama cucunya kini terbujur kaku.

“Kejadian ini memeranjatkan kami sekeluarga kerana arwah tidak menunjukkan sikap aneh, sebaliknya ceria apabila melihat anak serta saudara mengunjunginya,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, arwah penyayang dan baik hati, malah sering melawat saudara-mara yang sakit selain suka melayani kerenah cucu terutama ketika mereka pulang sempena cuti sekolah.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Taman Perdana selepas urusan bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selesai,” katanya.


Penguat kuasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas Kuantan Rosli Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 3.15 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.


Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga BLM dipandu Hasmadi Abd Halim, 38, bersama dua penumpang Ishah Hamin, 60, dan Zaliha dari Pekan menghala Kuantan terbabas ke kanan lalu melanggar pembahagi jalan.


“Akibat perlanggaran itu, kereta berkenaan tersasar ke kiri jalan hingga melanggar seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z800 sebelum kedua-dua kenderaan berkenaan terhumban dalam parit.


“Kami mengambil masa 15 minit mengeluarkan semua mangsa dalam kereta yang tersempit sebelum dikejarkan ke HTAA oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

No comments:

Post a Comment