Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Pertikaian harta jutawan selesai


SALAH sebuah bas Ekspres Mutiara. - Gambar hiasan


KOTA BHARU – Selepas kira-kira tiga tahun turun naik mahkamah, kes perebutan harta antara jutawan syarikat bas ekspres dengan 11 orang anaknya selesai semalam apabila mereka sepakat untuk menyelesaikan kes tersebut secara damai.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini kemudian menetapkan 17 April ini untuk merekodkan perintah persetujuan tersebut dan memutuskan kadar harta yang akan diperoleh pihak berkaitan.
Harta yang menjadi pertikaian antara pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, 59, dengan anak-anaknya ialah harta sepencarian arwah Paizah Mohd. Yusoff yang merupakan isteri kepada jutawan itu dan ibu kepada 11 anak Che Ibrahim.
Paizah meninggal dunia pada tahun 2008 setelah koma selama empat tahun berikutan kemalangan jalan raya pada tahun 2004.
Allahyarham berusia 49 tahun.
Selepas kematian ibu mereka, sebelas anak pasangan itu memfailkan tuntutan ke atas bapa mereka bagi mendapatkan harta sepencarian ibu mereka di mahkamah pada 2 Oktober 2011.
Anak sulung pasangan itu, selaku plaintif pertama kes, Khalilullah (gambar kecil), 34, yang ditemui memberitahu, persetujuan itu telah dicapai semasa prosiding di depan Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty pada Ahad lalu.
“Kami 11 beradik dan bapa sudah bersetuju untuk menyelesaikan kes pertikaian tuntutan harta ini secara damai dan persetujuan.
“Dalam prosiding Ahad lalu, hakim telah memutuskan untuk mengeluarkan perintah hari ini (semalam) namun ada beberapa perkara lagi yang memerlukan perbincangan secara lebih terperinci, lalu hakim putuskan 17 April ini untuk mengeluarkan perintah tersebut,” katanya kepada pemberita semalam.
Prosiding semalam dihadiri oleh Khalilullah dan adiknya (plaintif kedua dan anak kedua), Tamtini, 33, bersama peguam mereka, Mustafa Kamal Mat Hasan manakala defendan, Che Ibrahim tidak ditemani peguam.
Kosmo! 14 Oktober 2011 melaporkan, seramai 11 orang anak kepada seorang jutawan syarikat bas ekspres terkemuka di sini menuntut daripada bapa mereka harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka yang telah meninggal dunia pada 2008.
Harta tersebut meliputi kawasan tanah di sekitar Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Lumpur, beberapa rumah banglo dan bangunan serta syer di dalam syarikat Ekspres Mutiara yang didaftarkan atas nama Mutiara Pahim Sdn. Bhd.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2v2W5WiSI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment