Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Penjaja, isteri kedua lumur cili didenda RM500 seorang


KUALA LUMPUR 4 Mac - Seorang penjaja dan isteri keduanya masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melumur cili ke muka isteri pertama lelaki tersebut, bulan lalu.
Muhammad Ariff Jupirin, 26, dan warga Indonesia, Srimeiriska Iswandy, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap peniaga, Muntamah Ahmad Minlon, 46, yang juga rakyat Indonesia.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Ariff dan Srimeiriska didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muntamah dengan melumur mukanya dengan cili sehingga menyebabkan mangsa merasa pedih serta sakit di kedua-dua belah matanya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di hadapan rumah No. 12, Jalan Badak, Jalan Yew, Cheras di sini kira-kira pukul 1 pagi, 25 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin turut memerintahkan pasangan tersebut dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda masing-masing.
Mengikut fakta kes, semasa Muntamah berada di dalam kereta dan sedang menunggu kawannya di rumah sewanya di tepi Jalan Badak di sini, tiba-tiba kedua-dua tertuduh masuk ke dalam kenderaannya lalu Srimeiriska melumur cili ke muka mangsa sementara Muhammad Ariff menariknya keluar dari kenderaan itu.
Kedua-dua tertuduh itu, kemudian melarikan diri bersama kereta mangsa serta barang-barang perniagaan dan beberapa dokumen penting termasuk pasport, sijil nikah, sijil kelahiran anak dan wang tunai RM300.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140305/ma_07/Penjaja-isteri-kedua-lumur-cili-didenda-RM500-seorang#ixzz2v2OsfWKR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment