Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Penjaga rumah urut didakwa


TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
4 Mac 2014


SHAH ALAM - Seorang penjaga rumah urut tidak berlesen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM500 kepada kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), dua tahun lalu.

Lee Kar Leong, 37, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Lelaki itu didakwa memberi rasuah kepada Pembantu Penguatkuasa Kanan MPSJ, Mohd Fadzir Mukhtar, 40, agar tidak mengeluarkan saman dan menyita premis perniagaan H20 Reflexology yang melakukan  kesalahan mengikut Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Kesihatan 2007 yang mana tidak mempunyai lesen perniagaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis tersebut yang beralamat No 8-1, Jalan Puteri 5/2, Bandar Puteri Puchong, Puchong, Selangor jam 9.50 malam pada 10 Januari 2012.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahamad Sukri Seman @Abu Samah mengikut Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Mahamad Sukri mencadangkan kepada mahkamah RM10,000 sebagai wang jaminan.

Kar Leong yang diwakili oleh Peguam Bela, Hamidi Datuk Mohd Noh memohon kepada mahkamah agar wang jaminan dikurangkan kepada RM2,500.

Hakim, M. Bakri Abd Majid membenarkan wang jaminan RM7000 dengan seorang penjamin.

Sebagai syarat tambahan, Kar Leong perlu melaporkan diri setiap bulan di ibu pejabat SPRM.

Mahkamah menetapkan 4 April depan sebagai sebutan semula.

No comments:

Post a Comment