Search This Blog

Saturday, March 8, 2014

Peniaga sorok-sorok jual rokok seludup


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Hukuman berat masih tidak cukup untuk menghalang pengedar dan penjual meneruskan aktiviti jualan rokok seludup kerana tinjauan di sekitar ibu kota mendapati masih banyak kedai yang rata-rata dipercayai milik warga asing masih menjual rokok berkenaan yang menghasilkan keuntungan besar.

Tinjauan di beberapa kedai runcit sekitar Kampung Baru dan Jalan Chow Kit di sini, mendapati peniaga tetap menjual rokok seludup antaranya jenis Nusantara, Canyon dan juga Gudang Garam iaitu kegemaran warga asing yang mahukan rokok berharga murah.

Menggunakan taktik menyorok rokok berkenaan dalam stor kedai, berasingan daripada rokok sah, peniaga menjual rokok tersebut kepada pelanggan yang dikenali dan tidak menjualnya kepada orang tidak dikenali.

Langkah itu bagi memastikan kegiatan mereka tidak dibocorkan atau terjual kepada pegawai penguat kuasa yang menyamar berikutan kerajaan mengisytiharkan perang terhadap rokok seludup.

Menurut seorang pembeli yang mahu dikenali sebagai Zaidi, 30, rokok jenis Nusantara menjadi pilihannya sejak lima tahun lalu kerana harga murah berbanding rokok sah.

“Saya tidak mampu membeli rokok jenama terkenal kerana harganya mahal, jadi saya beli rokok Nusantara,” katanya.

Pekerja binaan Indonesia itu mengakui ada perbezaan rasa rokok seludup yang kurang ‘mengancam’ berbanding rokok lain, namun ketika harga rokok yang mahal sekarang ini, rokok berkenaan pilihan terbaik.

Bagaimanapun, menurutnya, rokok seludup semakin sukar diperoleh kerana ada pengedar dan penjual tidak berani mengambil risiko menjualnya secara terbuka kerana bimbang dikesan pihak berkuasa.

“Keadaan itu memaksa kami membelinya secara sembunyi daripada peniaga yang mengenali kami,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Ad Afnan Shaharuddin, 27, berkata, dia pernah mencuba menghisap rokok seludup jenis Canyon dan Nusantara, namun disebabkan rasanya kurang sedap berbanding rokok sah, membuatkan dia tidak lagi membeli rokok jenis itu.

Menurutnya, walaupun harga rokok seludup murah, namun dari segi kepuasan dia lebih gemar rokok jenama terkenal walaupun mahal.

“Bagi saya, rokok seludup banyak kesannya.



Saya pernah hisap Gudang Garam, terus batuk dan sakit tekak.

Bagi yang tidak biasa dengan rokok seludup ini, ia mungkin membawa kesan tidak menyenangkan,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

No comments:

Post a Comment