Search This Blog

Saturday, March 8, 2014

Penganggur dihukum penjara setahun


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2014
Penganggur dihukum penjara setahun
Penganggur dihukum penjara setahun Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah majistret, semalam.



KOTA BHARU - Akibat memukul isteri sehingga cedera di leher dan lengan, seorang penganggur dijel setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini kelmarin selepas mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Mohd Zakaria Muhammad, 30, selepas meneliti keterangan impak saksi yang  memohon agar tertuduh diberi hukuman setimpal.

“Selepas meneliti keterangan impak mangsa iaitu isteri kamu, saya menilai kepentingan keluarga kamu mengatasi kepentingan kamu,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, pada 3 Mac lalu, lebih kurang jam 9.30 malam di sebuah rumah di Kampung Pauh Dai, Badang Mohd Zakaria Muhammad, 30, telah dengan niat mencederakan Nurul Zilawati Mat Hassan sehingga mendatangkan kecederaan pada lengan dan belakang leher.

Oleh yang demikian tertuduh  didapati melakukan kesalahan  di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa  hukuman penjara boleh sampai setahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Mohd Zakaria didakwa memukul isterinya dengan tangan dan kaki apabila mangsa tidak memberikan wang apabila dimintanya.

Kejadian seumpama ini telah banyak kali berlaku terutama apabila mangsa memberitahu tidak mempunyai wang.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md  Zukri memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman  yang setimpal memandang ia merupakan kes yang serius.

“Di dalam Islam sememangnya membenarkan untuk memukul isteri jika melakukan kesalahan namun mestilah bersyarat bagaimanapun dalam kes ini,  puncanya saya lihat sebagai tidak munasabah.

“Alasan tertuduh untuk mengurangkan hukuman kerana  tiada siapa menjaga dua orang anaknya yang bakal hidup terumbang ambing juga tidak patut diambil kira kerana sememangnya isterinya terpaksa bekerja dan menanggung  keluarga dan dua anaknya, manakala tertuduh tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara tersebut di jalankan bermula daripada tarikh tangkap iaitu 4 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment