Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Pemilik kilang rugi hampir RM3 juta

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Pemilik kilang rugi hampir RM3 juta
Anggota bomba memadamkan sepenuhnya kebakaran kilang terbabit semalam.
30 Mac 2014
 IPOH – Pemilik sebuah kilang memproses bahan kitar semula dan menghasilkan plastik kerugian hampir RM3 juta apabila bangunan operasinya musnah dalam kebakaran di Persiaran Kilang Silibin, Taman Pertama, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua lima pekerja yang sedang bekerja syif malam sempat melarikan diri selepas gagal memadamkan kebakaran awal di kilang terbabit.

Ketua Balai Bomba dan penyelamat Meru, Norazlina Robak’aee berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.02 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira sembilan minit kemudian mendapati api sedang marak namun, berjaya dikawal pada kira-kira jam 4.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya dua jam selepas itu.

“Kami menggunakan semburan campuran air dan buih bagi mengawal api kerana bahan tersebut sesuai untuk memadam kebakaran yang berpunca daripada plastik. Kebakaran melibatkan keluasan lebih 4800 meter persegi.

“Api mudah merebak apabila bahan-bahan buangan mudah terbakar antaranya plastik, kertas-kertas dan botol serta menyebabkan keseluruhan bangunan ini musnah 100 peratus.

“Namun, kami tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk memadamkan kebakaran ini berikutan punca air mudah didapati dan masih berfungsi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Norazlina berkata, operasi pemadaman turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang menghantar tiga jentera bersama 14 anggota bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

“Kebakaran ini tidak menjejaskan operasi kilang-kilang berhampiran namun, punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bomba,” katanya.

No comments:

Post a Comment