Search This Blog

Saturday, March 8, 2014

Pembantu penyelia lemas di pantai Kampung Cacar


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2014

Mohd Khairul Adamy Abas
Mohd Khairul Adamy Abas



PAKA – Keengganan seorang pembantu penyelia syarikat petrokimia pulang ke kampung semata-mata untuk menghabiskan cuti bersama rakan, ibarat satu panggilan ajal selepas dia lemas ketika mandi di pantai Kampung Cacar, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Mohd Khairul Adamy Abas, 24, lemas ketika mandi bersama tiga rakannya.

Rakan mangsa, Najib Norkaferi, 19, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama Allahyarham dan dua lagi rakannya pergi ke pantai berkenaan untuk mandi laut.

Mangsa yang mengambil pelampung secara kebetulan ditemui di situ, berenang ke tengah laut sebelum menjerit meminta tolong.

Menurut Najid, Allahyarham dikatakan begitu teruja dapat mandi laut dan dia sama sekali tidak menyangka kegembiraan itu bakal berakhir dengan tragedi meragut nyawa rakan karibnya itu.

"Khairul tiba-tiba hanyut ke tengah laut, ketika itu dia menjerit minta tolong, saya ingat dia hanya bergurau.

“Tapi selepas banyak kali saya dengar jeritan dia, baru saya sedar dia lemas, tapi kami takut untuk selamatkan dia kerana kami tak tahu berenang," katanya.

Bagaimanapun, seorang nelayan yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian, berlari mendapatkan bot untuk menyelamatkan mangsa selepas diberitahu Najib mengenai kejadian lemas menimpa sahabatnya itu.

Mohd Khairul berjaya ditarik ke dalam bot lalu dikejarkan ke klinik berdekatan sebaik tiba di daratan.

Namun, mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paka.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut sebelum jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Setiu.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kes lemas tersebut.

No comments:

Post a Comment