Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Pekerja penampal siling ditikam


KUALA LUMPUR 18 Mac - Seorang pekerja penampal siling maut setelah ditikam dan ditetak bertubi-tubi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan sebuah hotel di Jalan Kasturi di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, M. Mugunthan, 29, dikatakan telah diserang seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka, ketika sedang berjalan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan, maut setelah diserang dari arah belakang oleh seorang suspek.
Beliau berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan serius di badan antaranya tetakan di leher, tikaman di perut serta beberapa kecederaan lain di tangan kiri dan jari.
"Akibat serangan itu, mangsa telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Zainuddin memberitahu, setakat ini pihak polis masih melakukan siasatan dan menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun.
"Barangan peribadi termasuklah dompet mangsa masih berada di badannya namun kita akan menyiasat segenap aspek termasuklah motif balas dendam," katanya.
Tambah Zainuddin, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah tetapi mempunyai kaitan dengan beberapa laporan polis berhubung masalah rumah tangga serta hak penjagaan anak.
Sementara itu, bekas isteri mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia dan mangsa berpisah sekitar dua tahun lalu, bagaimanapun mangsa seolah-olah sukar menerima hakikat dan sering mengganggunya.
"Dia akan merampas telefon bimbit saya dan memberitahu semua kawan-kawan bahawa saya ini masih bersuami. Malah dia sering datang ke hospital tempat saya berkerja," kata jururawat itu ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur.
Hasil perkahwinan mereka berdua, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140319/je_04/Pekerja-penampal-siling-ditikam#ixzz2wMYyWRan
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment