Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Pecah rumah tak kira waktu

NOOR HAYATI MAMAT
Pecah rumah tak kira waktu
Anak Mohd Zumajdi, Muhamad Zul Aiman Daniel, 18, menunjukkan cermin kereta Proton Preve ayahnya yang pecah dipercayai cuba dipecah masuk malam Ahad lalu di rumah mereka di kawasan Paya Pinang. - Foto Sinar Harian 
19 Mac 2014
HULU TERENGGANU - “Ini kejadian ketiga berlaku sejak saya tinggal di sini pada 2008. Kes pertama, rumah saya dipecah masuk sekitar 2009 dan tidak lama selepas itu motosikal saya hilang akibat dicuri,” kata Mohd Zulmajdi Salleh, 41, apabila kenderaan yang diletakkan di halaman rumah pula menjadi sasaran pencuri, Ahad lalu.

Menurutnya, kejadian terbaru itu dipercayai berlaku antara jam 3.30 hingga 4 pagi dan ketika itu dia terjaga setelah alat penggera kereta berbunyi.

Katanya, dia kemudian bangun dan keluar menjenguk keadaan, tetapi tiada yang mencurigakan serta beranggapan mungkin bateri keretanya lemah.

“Namun kira-kira jam 6 pagi ketika ingin keluar ke tempat kerja, saya terkejut apabila mendapati cermin pintu belakang kereta di sebelah kiri pecah dan apabila ditinjau, terdapat kesan pagar dipotong,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Difahamkan pada hari sama, motosikal jiran sebelah rumahnya turut dicuri, manakala sebelum itu pada petang Rabu lalu, sebuah rumah jirannya di kawasan Paya Pinang juga dimasuki pencuri.

Mohd Zulmajdi berkata, dia dimaklumkan sudah tujuh kali rumah jirannya menjadi sasaran pencuri dan dipercayai kegiatan itu dilakukan lebih daripada seorang.

Sehubungan itu juga, penduduk yang tinggal bersempadan Kampung Butut dan Kampung Bukit Tokbat berharap pihak berkuasa dapat melakukan rondaan dengan lebih kerap.

Malah mereka mendakwa, kejadian kecurian bukan sahaja berlaku pada waktu malam tetapi juga siang hari iaitu ketika penghuni tiada di rumah.

Penduduk, Zainudin Mohd Ripin, 42, berkata dia tidak menolak kemungkinan kebanyakan kes yang berlaku di kawasan itu dilakukan individu sama memandangkan modus operandi digunakan selain sering menjadikan rumah guru sebagai sasaran.

“Mereka ini seolah-olah tahu latar belakang dan jadual harian pemilik rumah. Sebab itu mereka mudah bertindak tidak kira siang ataupun malam.

“Jadi kita harap sangat pihak berkuasa khususnya polis dapat meningkatkan lagi rondaan di kawasan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment