Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Pasangan kekasih nyaris maut

ROSALWANI CHE SOH
Pasangan kekasih nyaris maut
Keadaan kereta yang hangus terbakar. 
30 Mac 2014
KOTA BHARU - Pasangan kekasih nyaris maut selepas kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu lelaki terbabit terbakar selepas hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Wakaf Siku, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sempat diselamatkan seorang peniaga burger yang kebetulan berniaga di kawasan terbabit.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu dipercayai berlaku apabila salah satu tayar kereta meletup ketika melalui jalan terbabit, menyebabkan kereta dipandu dari arah Lundang ke Kota Bharu itu kemudiannya melanggar pembahagi jalan sebelum melanggar sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

Perlanggaran itu mengakibatkan kereta terbabit meletup dan terbakar serta-merta.

Peniaga burger terbabit, Ahmad Fikeri Mohd, 34, berkata, dia nekad menyelamatkan pemandu lelaki tersebut yang masih berada dalam kereta walaupun ketika itu api marak.

“Api bermula dari enjin kereta semakin merebak tetapi saya beranikan diri menyelamatkan mangsa yang tersepit di bahagian dadanya, betul-betul berhampiran stereng di tempat duduk pemandu.

“Mujurlah saya turut dibantu oleh rakan, Mohd Ridwan Mohd Zin, 27, yang ketika itu ada bersama dan dapat mengeluarkan mangsa dari dalam kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu katanya, teman wanita lelaki terbabit yang mengalami kecederaan di kepala turut berjaya dikeluarkan dari kereta tersebut.

"Mereka dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan susulan," katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian mendapatkan mangsa tidak berjaya berikutan kedua-duanya enggan ditemu bual.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 malam.

“Sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian dan kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak 15 minit kemudian.

“Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan tidak mengalami kecederaan serius. Mereka  dilaporkan stabil,” katanya.

No comments:

Post a Comment