Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Paling buruk dalam tempoh 10 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
Paling buruk dalam tempoh 10 tahun
Sebanyak lima kebakaran besar melibatkan hutan di negeri ini sejak tiga minggu lalu. 
15 Mac 2014
SABAK BERNAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan kebakaran hutan pada tahun ini disifatkan paling buruk dalam tempoh 10 tahun apabila sebanyak 249.69 hektar hutan di seluruh negeri ini terbakar sejak 16 Februari lalu.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Puzi Mohd Tobat berkata, keseluruhan sebanyak lima kebakaran besar melibatkan hutan di negeri ini sejak tiga minggu lalu.

Katanya, kebakaran hutan paling teruk dilaporkan 24 Februari lalu apabila dua kawasan berasingan terbakar serentak sekali gus mencatatkan keluasan kebakaran tertinggi sehingga kelmarin.

"Sebanyak 157.018 hektar kawasan hutan gambut di Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru terbakar dalam kejadian itu, manakala 48.26 hektar lagi berlaku di Kilometer 24 Lebuh Raya Elite.

“Keseluruhannya, lima kawasan di negeri ini terlibat dalam kebakaran hutan dan pada saya ini adalah kebakaran paling buruk pernah direkodkan berbanding hanya dua atau tiga sahaja kawasan kebakaran sebelum ini,” katanya.

Mohd Puzi memberitahu, kejadian kebakaran di negeri ini mula dikesan pada 16 Februari lalu apabila sebanyak 19.42 hektar hutan gambut di Taman Industri Alam Jaya, Bestari Jaya terlibat dalam kebakaran berkenaan.

“Kemudiannya kebakaran berlaku di hutan gambut Parit 16 Sungai Besar pada 19 Februari lalu yang melibatkan sebanyak 17.40 hektar dan terbaru pada 4 Mac lalu melibatkan kawasan seluas 7.28 hektar di Bukit Changgang Banting, pula terbakar,” katanya.

Kebakaran hutan penyumbang jerebu

Beliau berkata, kebakaran yang berlaku secara berleluasa itu juga dianggap sebagai penyumbang utama kepada peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan masalah jerebu di negeri ini.

Dalam pada itu, Timbalan Penolong Pengarah (Operasi) Selangor, Mohd Sani Harul berkata, punca kebakaran adalah dari petani sendiri yang memulakan pembakaran untuk melakukan operasi pembersihan ladang.

"Walaupun kita mempunyai paras air tinggi, tetapi jika mereka mulakan, kebakaran tetap akan berlaku.

"Kebakaran  juga mudah merebak di kawasan tanah gambut kerana walaupun kita sudah padamkan api, tetapi bila sudah dua tiga hari, kebakaran boleh merebak semula," katanya.

Mohd Sani berkata, pihak bomba juga telah membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) bagi mengawal kebakaran besar di lima kawasan terlibat itu.

No comments:

Post a Comment