Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Op Lejang Mega berkas ahli sindiket Robin Hai


ABD. Manaf Abd. Razak menunjukkan gambar kereta yang berjaya ditemui dalam Op Lejang Mega semasa sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Halim Khalid
KUALA LUMPUR 14 Mac - Polis menahan dua ahli sindiket curi kenderaan Robin Hai dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Mega, Bandar Teknologi Kajang, di sini pada 18 Februari lalu.
Dalam serbuan Op Lejang Mega kira-kira pukul 4.30 petang itu, polis merampas 10 buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Fortuner dan Honda CRV yang kesemuanya bernilai RM1.9 juta.
Dalang sindiket itu yang dikenali Robin Hai atau nama sebenarnya Nyo Ah Hai, 49, masih bebas.
Ketua Penolong Pengarah (Risikan Jenayah, Operasi dan Rekod) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd. Manaf Abd. Razak berkata, kedua-dua suspek berusia 21 hingga 26 tahun itu ditahan bersama dua wanita dipercayai kekasih mereka.
Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati, suspek berperanan sebagai joki kereta yang mengambil dan menghantar kenderaan seperti diarahkan sebelum melarikannya ke dalam kontena yang sedia menunggu.
Menurut beliau, sewaktu intipan pihaknya di gudang berkenaan, pihaknya ternampak dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan sebuah Perodua Kancil dibawa keluar. Ketiga-tiga kenderaan itu diekori sehingga ke Plaza Tol Sungai Ramal sebelum dipintas.
"Kenderaan mereka berjaya dihalang sebelum kedua-dua Toyota Hilux itu secara tiba-tiba bertindak mengundur dengan laju dan merempuh sebuah kenderaan polis yang berada di belakang.
"Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah daripada Toyota Hilux itu sebelum menahan mereka ketika cuba melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Bukit Aman hari ini.
Tahun lalu, Robin Hai yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang dikenal pasti polis sebagai dalang terbesar kes curi kenderaan di negara ini, sehingga mengakibatkan kerugian RM180 juta.
Robin Hai dikehendaki bagi kes ini sejak 10 tahun lalu namun kekerapannya menukar identiti menyukarkan polis mengesan kedudukannya.
Tambah Abd. Manaf, gudang tersebut dipercayai dijadikan tempat pengumpulan kenderaan yang dicuri sebelum diangkut masuk ke dalam kontena untuk dihantar ke Pelabuhan Klang dan polis merampas dua lagi Toyota Hilux curi di dalamnya.
"Hasil siasatan lanjut, polis kemudiannya dibawa oleh suspek ke Westport, Pelabuhan Klang dan ditunjukkan dua kontena mengandungi enam lagi kenderaan pacuan empat roda masing-masing dua Toyota Hilux, tiga Toyota Fortuner dan sebuah Honda CRV.
"Suspek direkrut sejak pertengahan tahun lepas dan mengaku sehingga kini sudah 22 buah kenderaan curi yang diseludup keluar dari Malaysia melalui jalan laut menuju ke Pelabuhan Jebel Ali, Dubai," jelasnya.
Kata Abd. Manaf, kedua-dua wanita yang merupakan kekasih suspek telah dibebaskan dan suspek masih ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan melupuskan harta curi.
"Kita percaya masih ada saki baki sindiket ini dan polis sedang giat menjejaki mereka.
"Kita merekodkan sebanyak 40 hingga 45 kenderaan hilang setiap hari di negara ini dan sekurang-kurangnya tiga hingga lima kenderaan jenis 4WD dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pula lesap setiap hari," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140315/je_03/Op-Lejang-Mega-berkas-ahli-sindiket-Robin-Hai#ixzz2w4YnOzeq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment