Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Obama: Mencari MH370 'keutamaan tertinggi'

Barack Obama
Barack Obama 
20 Mac 2014
KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Rabu berkata Washington meletakkan misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai 'keutamaan tertinggi' negara itu.

Agensi berita AFP memetik Obama sebagai berkata demikian dalam komen pertamanya di hadapan kamera mengenai pesawat yang hilang itu dalam temu bual dengan KDFW, stesen televisyen Dallas, di White House.

"Saya mahu mereka yakin bahawa kami menganggap ini sebagai keutamaan tertinggi.

"Kami telah mengumpulkan semua sumber yang kami ada untuk digunakan dalam proses pencarian ini," kata presiden itu.

Menurut laman sesawang stesen televisyen itu, temu bual eksklusif oleh penyampai FOX4 Clarice Tinsley diadakan pada tengah hari Rabu (waktu tempatan).

Menurut laporan AFP itu juga, semasa temu bual berkenaan, pemimpin Amerika Syarikat itu turut menyebut tentang kerjasama erat Washington dan Kuala Lumpur berhubung insiden pesawat hilang itu.

"Memang wujud kerjasama erat (kami) dengan kerajaan Malaysia," kata Obama. Amerika Syarikat telah menghantar antara lain, pesawat pengawasan dan peninjau, P8 Poseidon serta P-3 Orion dalam misi mencari itu.

Menurut AFP, Obama juga berkata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan agensi-agensi atau pegawai yang terlibat dalam bidang penerbangan sedia membantu kumpulan penyiasat yang ada.

NTSB ialah sebuah agensi persekutuan bebas yang dibenarkan Kongres untuk menyiasat setiap kemalangan melibatkan penerbangan awam di Amerika Syarikat dan kemalangan besar yang melibatkan pengangkutan lain seperti kereta api, lebuh raya, marin dan saluran paip.

Presiden Obama juga melahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

"Pertama sekali kami mahu menyampaikan ingatan dan doa kami kepada semua keluarga yang terlibat terutama kepada keluarga warga Amerika kami, yang saya hanya boleh bayangkan apa yang sedang mereka lalui dalam keadaan yang tiada ketentuan lagi ini," kata Obama dalam temu bual itu.

Terdapat tiga warga Amerika dalam penerbangan itu dan seorang daripadanya ialah Philip Wood, 50, dari Keller, Texas.

Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing apabila ia hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pukul 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatut mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Malaysia sebelum ini menyatakan operasi mencari pesawat itu tetap diberi keutamaan dengan memberikan tumpuan kepada cabaran diplomatik, teknikal dan logistik yang ada.

Setakat ini 26 negara yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat MH370 telah secara lisan bersetuju membantu Malaysia, dan kerajaan juga telah menghantar permohonan rasmi secara bertulis untuk mendapatkan  kerjasama mereka.

Misi mencari itu kini tertumpu kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

No comments:

Post a Comment