Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Nenek dan dua cucu nyaris maut

WARTAWAN SINAR HARIAN
Nenek dan dua cucu nyaris maut
Mangsa hilang tempat tinggal dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Jiboi, Ampangan, semalam. Gambar kecil: Ramlan. 
4 Mac 2014
SEREMBAN – Seorang nenek bersama dua cucunya nyaris maut apabila rumah yang didiaminya mereka rentung dalam satu kebakaran di Kampung Jiboi, Ampangan, di sini, pagi semalam.

Kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah separuh papan itu disedari nenek, Jamiah Abd Rani, 60, kira-kira jam 7.30 pagi. Jamiah ketika itu berada di ruang tamu sempat menyelamatkan dua cucunya, Muhammad Quyum Sayid Ramlan, 3, dan Muhammad Taqid Abdul Hakam, 5 bulan, sebelum api marak.

Anak mangsa, Ramlan Ramli, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang tidak jauh daripada rumah ibu bapanya itu.

“Saya terima panggilan daripada jiran kira-kira jam 8.05 pagi yang memaklumkan rumah mak terbakar.

“Saya seolah-olah tidak percaya kerana baru saja hantar anak ke rumah mak jam 7 pagi. Anak memang mak jaga kerana kami suami isteri bekerja,” katanya semalam.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah ibu bapanya itu dan dari jauh kelihatan asap tebal dan api sedang marak.

“Hati saya sangat berdebar bila kenang nasib mak dan anak saya. Sebaik tiba, saya meraka berada di luar rumah dan kelihatan.

“Ketika itu saya mengucap syukur kerana mak dan anak selamat,” katanya. Ramlan berkata, ketika  kejadian hanya mak dan dua orang cucunya berada di rumah manakala ayah, Ramli Abdullah, 58, sudah keluar bekerja.

“Mak memberitahu ketika kejadian dia sedang meneman cucu bermain. Tibatiba terbau asap dan kelihatan api muncul dari dapur.

“Sepantasnya mak bawa dua cucunya keluar tanpa sempat menyelamatkan apa-apa” katanya.

Katanya, jiran yang menyaksikan kejadian itu sempat menyelamatkan motosikal adik daripada terkena api.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan. Mak dan ayah tinggal sehelai sepinggang. Walaupun kehilangan harta, saya tetap bersyukur mak dan anak selamat kerana nyawa lebih penting dari segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mustaza dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.57 pagi.

“Tiga jentera bersama 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan sejurus tiba api sedang marak.

“Kita mengambil masa kira-kira lima minit bagi memadam api dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah jiran bersebelahan,” katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dijangka hampir RM80,000.

No comments:

Post a Comment