Search This Blog

Saturday, March 8, 2014

Nasib baik peluru tak tembus kereta


2014/03/08

Chukai: “Nasib baik peluru itu tidak tembus, jika tidak, anak saya mungkin cedera,” kata Johan Sidek, 50, selepas kereta yang dinaiki mereka empat beranak terkena sebutir peluru sesat dekat Gebeng, Kuantan, Pahang kelmarin.

Beliau mendakwa peluru sesat itu dipercayai dari lapang sasar sebuah agensi penguatkuasaan berdekatan.


Mahu beli buku sekolah anak

Katanya, ketika kejadian, dia bersama isteri, Rahimah Jamil, 53, serta dua anak perempuan mereka, Nur Suhada, 24, dan Nurul Nabihah,15, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Tanah Lot, Mak Lagam, Kemaman ke Kuantan untuk membeli buku sekolah anaknya.

“Dalam perjalanan dan setibanya di kawasan itu kira-kira jam 10.50 pagi, tiba-tiba saya terdengar satu letupan kuat sebelum cermin kereta sebelah kanan di bahagian belakang pecah berderai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Johan berkata, dia segera memberhentikan kenderaannya dan terkejut mendapati ada satu lubang dan percaya ia berpunca daripada tembakan.

"Saya kemudiannya ke kawasan agensi penguatkuasaan terbabit lalu terdengar bunyi tembakan daripada mereka yang menjalani latihan menembak di situ.
Tidak mengaku

“Saya menceritakan perkara itu kepada beberapa anggota penguatkuasaan di situ mengenai kejadian, namun mereka tidak mengaku peluru itu datang daripada pihak mereka,” katanya yang juga seorang kakitangan awam.

Beliau membuat aduan di Balai Polis Beserah, Kuantan, membuat laporan, kira-kira jam 12.20 tengah hari.

“Ketika di balai polis itu, saya membuka panel pintu di bahagian dalam untuk membuang serpihan kaca dan menjumpai sebutir peluru. Peluru terbabit kemudiannya diambil pihak forensik yang datang membuat siasatan sejurus saya membuat laporan," katanya.

Sementara itu Nur Syuhada berkata nasib baik ketika cermin tingkap kereta pecah dia memaling muka bersembang dengan adik, Nurul Nabihah.

“Kalau tiada besi penghadang (dalam pintu kereta) sudah tentu peluru terkena badan saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment