Search This Blog

Wednesday, March 26, 2014

Nahas ayam beku


Alor Gajah: Seorang pemandu lori parah manakala dua kelindan cedera ringan selepas kenderaan mereka yang membawa muatan ayam beku merempuh belakang sebuah treler di Kilomter 215.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Salleh, berusia lingkungan 40-an bersama dua kelindan warga Nepal berusia 30-an dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor.
Menurut sumber, sebaik tiba di lokasi, lori 10 tan itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler.
“Rempuhan mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduknya manakala dua kelindan hanya cedera ringan manakala pemandu treler itu meneruskan perjalanan kerana dipercayai tidak menyedari mengenai kejadian.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan selepas bomba mendapatkan bantuan sebuah lori untuk menarik kenderaan dipandu mangsa dalam usaha mengeluarkannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Jamaludin Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.12 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota dengan sebuah jentera ke lokasi sebelum dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Negeri Sembilan dalam usaha mengeluarkan mangsa.
“Setibanya di tempat kejadian kami dapati orang awam sedang menenangkan mangsa sebelum operasi mengeluarkan lelaki berkenaan yang tersepit dalam keadaan sedar dijalankan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya hanya mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.
Foto
KEADAAN lori yang remuk selepas merempuh bahagian belakang sebuah treler.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

No comments:

Post a Comment