Search This Blog

Monday, March 24, 2014

Misi cari imej dicerap satelit China turut gagal


Kuala Lumpur: Misi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi gagal menemui objek yang imejnya dicerap satelit China, meskipun operasi semalam meliputi lokasi objek itu dikesan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya di sini semalam berkata, AMSA menggunakan maklumat yang disalur China itu untuk memeta plot pencarian.


“Semalam pencarian dibahagikan kepada dua, dalam kawasan yang sama meliputi keluasan 59,000 kilometer (km) persegi, kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth,” kata kenyataan itu.



Sebanyak lapan pesawat dikerah melaksanakan operasi hari ini termasuk empat pesawat awam iaitu dua Bombardier Global Express serta sebuah Gulfstream 5 dan Airbus 319.


Satu daripada pesawat awam terbabit berlepas dari Perth kira-kira jam 9 pagi, manakala tiga lagi antara jam 11 pagi hingga tengah hari. Menurut kenyataan itu pesawat P-8 Poseidon milik tentera udara Amerika Syarikat (AS) berlepas pada jam 11 pagi, manakala sebuah P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas pada jam 11.45 pagi.


“Sebuah lagi P-3C Orion RAAF akan menyusul pada 2 petang,” kata kenyataan itu yang menambah P-3C Orion milik tentera udara New Zealand akan berlepas pada jam 4 petang.

Kenyataan itu juga menyebut kapal tentera laut Australia HMAS Success turut menjalankan aktiviti pencarian semalam. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

No comments:

Post a Comment