Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Minta peguam baca nota luahan 4 beradik


2014/03/05

Kota Bharu: Nota luahan perasaan empat adik beradik yang ibu bapa mereka ditahan di Sweden atas dakwaan mendera, akan diserahkan kepada peguam pasangan itu dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya juga akan meminta peguam kepada Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal membaca nota itu di mahkamah.


Katanya, nota yang ditulis sendiri oleh empat beradik itu adalah daripada luahan perasaan mereka sendiri dan akan diserahkan melalui Duta Besar Malaysia ke Sweden, Datuk Badruddin Ab Rahman.

“Nota yang mereka tulis ini adalah luahan perasaan sendiri dan ia tidak diajar oleh sesiapa. Kita minta kalau boleh supaya peguam di sana dapat membaca nota berkenaan dalam mahkamah itu nanti untuk membuktikan empat beradik ini sayang kepada ibu bapa mereka.

“Melihat kepada nota ditulis empat beradik ini, kita berasakan bahawa mereka sangat sayang dan merindui kedua ibu bapa mereka. Saya percaya apa yang berlaku tidak diingini sesiapa.

“Kita juga akan memberitahu pasangan itu berkenaan perkembangan anak mereka yang kini berada dalam jagaan adik Shalwati, Shaleena,” katanya ketika melawat kediaman Shaleena di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat, semalam.

Pada majlis itu, Hamzah turut sempat menyampaikan sumbangan peribadinya kepada keluarga terbabit. Selain itu, Hamzah berkata, perbicaraan kes Azizul dan Shalwati dijangka berakhir pada 14 Mac ini tapi mungkin ada penambahan hari perbicaraan sekiranya tidak selesai pada hari terbabit.

No comments:

Post a Comment