Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Bekas pelajar kolej dituduh sebabkan kematian anak

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
Bekas pelajar kolej dituduh sebabkan kematian anak
Tertuduh (kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam. - Foto Sinar Harian 
19 Mac 2014
AYER KEROH - Seorang bekas pelajar kolej dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kematian anak lelakinya yang baru dilahirkan di sebuah rumah di Tanjung Kling, Disember lalu.

Tertuduh berusia 18 tahun yang berasal dari Johor Bahru, Johor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh ketika kejadian berusia 17 tahun 11 bulan didakwa menyebabkan kematian seorang bayi yang dilahirkan di sebuah rumah di Jalan Bukit Rambai, Batang Tiga, Tanjung Kling, kira-kira 8 malam pada 23 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal ketika pendakwaan membantah jaminan diberikan berikutan kes dilakukan tertuduh hingga menyebabkan kematian itu mendapat liputan media.

Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork merayu supaya jaminan dibenarkan dengan alasan tertuduh yang akan dijamin ahli keluarga merupakan pesalah juvana dan kini membantu ibunya berniaga kuih.

Selepas mendengar rayuan itu, Azhaniz Teh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 April depan bagi serahan dokumen.

26 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja perempuan berkurung lebih satu jam dalam tandas selepas baru melahirkan anak di sebuah rumah.

Dia dipercayai panik sebelum bertindak membuang bayi lelaki itu menerusi ruang udara di antara dinding dan bumbung tandas rumah dalam kejadian kira-kira 8 malam.

Bagaimanapun, pelajar sebuah kolej di Masjid Tanah itu memaklumkan dia hanya mengalami buasir selepas ibu saudara terkejut melihat darah di lantai tandas, sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment