SEPANG –  Kementerian Pengangkutan mendesak semua pihak termasuk media sosial supaya tidak menyebarkan maklumat mengenai pesawat MH370 yang hilang daripada menara kawalan sejak pagi tadi.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelbagai khabar angin yang disebarkan hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menanti status terkini mengenai perkara itu dengan pelbagai agensi termasuk dari China, Filipina dan Vietnam.
“Kita sudah menghubungi semua agensi termasuk mengarahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelemat ini.
“Setakat ini, kami masih belum menerima apa-apa perkembangan mengenai perkara ini dan berharap perkara ini tidak dimanipulasikan,” katanya.
Pesawat Boeing777 gagal dikesan hilang dari Pusat Kawalan Radar sekitar jam 1.30 pagi tadi.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menuju ke Beijing, China dengan membawa seramai 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal.
Pelbagai spekulasi yang diperkatakan mengenai pesawat ini. Antaranya adalah ia terhempas di perairan Vietnam berdekatan dengan lokasi minyak dan gas Talisman, Vietnam.
Terhadulu, pesawat berkenaan dikatakan telah membuat pendataran cemas di lapangan terbang Nanning, China.
Namun, masih belum dapat dipastikan mengenai kesahihan berita ini.