KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak puas hati melihat keadaan rumah berselerak dan pinggan mangkuk penuh di dalam sinki tidak berbasuh, seorang adik tergamak menumbuk kepala kakaknya selepas menuduh mangsa pemalas, Sabtu lalu.

Bukan itu sahaja, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di kediaman mereka di Kampung Gong Kuin 2, di sini, suspek berusia 22 tahun turut bertindak kejam menendang paha mangsa, 24, kononnya untuk melepaskan geram.
Menurut sumber, sebelum insiden itu berlaku, mangsa baru sampai di rumah selepas keluar sekejap menyelesaikan urusan kerja.

“Bagaimanapun, belum sempat mangsa melepaskan lelah, tiba-tiba adik lelakinya datang menghampirinya dalam keadaan marah-marah sambil membebel menyatakan dia seorang kakak pemalas sebab tak kemas rumah dan basuh pinggan di dapur.

“Sedangkan sebelum keluar dari rumah, mangsa telah pun menyelesaikan semua tugasan tersebut dan meninggalkan rumah dalam keadaan bersih,” katanya.

Sumber berkata, disebabkan tidak berpuas hati dituduh pemalas, mangsa bertindak melawan sebelum berlaku pertengkaran mulut antara dua beradik itu.

“Keadaan semakin tegang apabila suspek gagal mengawal perasaannya sebelum bertindak menendang paha kiri dan menumbuk di bahagian kiri kepala mangsa.

“Tindakan suspek yang tidak berperikemanusiaan itu juga telah menyebabkan anak lelaki mangsa berusia enam bulan turut terjatuh kerana semasa kejadian bayi berkenaan berada berhampiran mereka,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian kiri kepala dan sakit di bahagian kiri paha akibat ditendang.

Mangsa yang tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian rupa serta bimbang keselamatannya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan.