Search This Blog

Monday, March 24, 2014

Mayat bayi dalam tong sampah di TBS


2014/03/24 - 05:31:26
Kuala Lumpur: Mayat bayi perempuan yang cukup sifat, dipercayai baru beberapa jam dilahirkan, dijumpai dalam tandas wanita di tingkat 3 Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS), di sini, malam kelmarin.

Mayat bayi yang dibungkus dengan kertas tisu dan dibungkus plastik itu ditemui oleh seorang pencuci tandas dalam tong sampah pada jam 11.30 malam.


Pekerja wanita warga Indonesia itu hanya menyedari ada mayat bayi ketika menggantikan plastik sampah yang baru. Difahamkan, ketika dia mengangkat plastik sampah berkenaan, kaki bayi itu terjulur keluar dan menyebabkan wanita itu terkejut sebelum memaklumkan kepada penyelianya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kok Meng, berkata siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai dilahirkan dari tempat lain sebelum dibuang di tandas terbabit.

“Tiada kesan darah pada badan mayat bayi mahupun di dalam tandas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Polis juga menemui kesan luka pada tengkuk bayi terbabit dipercayai tercedera ketika dilahirkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi.

No comments:

Post a Comment