Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Lelaki Singapura mengaku bersalah kes rasuah Tentera Laut AS





SAN DIEGO - Seorang ahli perniagaan Singapura, Alex Wisidagama kelmarin mengaku bersalah menipu Amerika Syarikat (AS) dalam skandal rasuah melibatkan kontrak perkhidmatan kapal-kapal tentera laut AS.

Dia ialah sepupu kepada pemilik firma bekalan kapal Glenn Defense Marine Asia (GDMA), Leonard Francis yang menjadi tertuduh utama kes tersebut.

Pihak berkuasa berkata, Wisidagama mengaku menyerahkan invois palsu bertujuan mengenakan caj berlebihan terhadap Tentera Laut AS melibatkan bekalan bahan api, tarif pelabuhan dan beberapa perkhidmatan lain.

Wisidagama, 38, membuat pengakuan tersebut selepas mencapai persetujuan dengan pihak pendakwa raya di mahkamah persekutuan di sini, dalam negeri California.

Dia adalah orang kedua mengaku bersalah dalam kes itu. Skandal rasuah tersebut selain menggemparkan tentera laut AS, turut mencetuskan kebimbangan tentang krisis etika dalam kalangan pegawai kanan tentera.

Pada Disember tahun lalu, bekas ejen khas Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS), John Beliveau mengaku bersalah berkomplot melakukan rasuah.

Dia mengaku memberikan maklumat sulit tentera laut AS kepada pemilik firma GDMA berkenaan bagi mendapatkan habuan wang tunai, penginapan hotel mewah dan pelacur.

Hukuman ke atas Wisidagama dijadual diputuskan pada 13 Jun depan.

Tentera Laut AS membayar ratusan juta dolar dalam bentuk caj perkhidmatan kepada GDMA termasuk bayaran bot tunda, bekalan bahan api, air dan kutipan sampah.

Dua komander Tentera Laut AS turut didakwa dalam kes rasuah tersebut. - AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2wRi79APC
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment