Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Lelaki Myanmar ditemui mati


19 Mac 2014


BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki rakyat Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di badan dalam sebuah pondok di kebun getah di Jalan Ara Kuda, Kubang Semang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata mayat lelaki berusia 40-an itu ditemui pemilik kebun getah berkenaan, yang juga majikannya, pada jam 5 petang.

"Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di tangan, leher, badan dan kepala.

"Kami tidak menemui sebarang pengenalan diri atau dokumen perjalanan bersama mangsa dan dipercayai dia bekerja di sini secara haram," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan rakan mangsa yang juga rakyat Myanmar tidak jauh dari tempat kejadian bagi membantu siasatan.

"Lelaki berusia 40-an yang cuba melarikan diri itu ditahan tidak sampai sejam selepas kejadian," katanya.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu berjumpa mangsa semalam dan mereka dipercayai minum arak bersama-sama sebelum berlaku pergaduhan yang disyaki berpunca daripada dendam lama.

Beliau berkata suspek bertindak memukul dan mencederakan mangsa yang bekerja di kebun getah itu sejak tiga tahun lepas dengan pisau toreh getah serta penukul.

"Kami turut menahan seorang lelaki tempatan iaitu majikan mangsa berusia 53 tahun bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment