2014/05/10 - 17:52:07
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor menahan sebuah kapal tangki yang disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup diesel bersubsidi di Teluk Kabong, Pasir Gudang, malam tadi.
Komandernya, ACP Paul Khiu Khon Chiang, berkata pihaknya juga turut merampas sebuah lori tangki serta diesel sebanyak 100,000 liter yang bernilai RM200,000 dalam kejadian pada kira-kira jam 11.45 malam.
"Enam kru kapal warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi. Pemandu lori bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum bot ronda sampai ke jeti," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kes itu akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor Baharu untuk tindakan lanjut.
Khiu turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam mengenai apa-apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang khasnya penyeludupan minyak bersubsidi, pendatang tanpa izin dan barangan bercukai serta jenayah-jenayah maritim.
Sebarang maklumat boleh disalur ke talian 07-2372222 atau 07-2376122.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment