Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Lagi PATI Turki

Foto
ANTARA PATI warga Turki yang ditahan, semalam.
Bukit Kayu Hitam: Selepas 62 pendatang tanpa izin (PATI) warga Turki ditahan di Padang Besar tempoh hari, cubaan 28 PATI dari negara sama ke negara ini secara haram gagal apabila ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 sewaktu cuba melalui pagar sempadan Malaysia-Thailand, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi, sepasukan anggota PGA diketuai Inspektor Jonathan Putra Laum melakukan rondaan ternampak sekumpulan PATI berjalan kaki selepas masuk melalui pagar sempadan.
Mereka dikatakan sanggup berjalan kaki melalui hutan negara jiran sebelum menyusuri ladang getah untuk masuk ke negara ini melalui pagar sempadan.
Ketika ditahan, kebanyakan PATI keletihan dan lapar, malah kanak-kanak cedera ringan selain koyak pakaian akibat meredah hutan sebelum tiba di lokasi.
Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 3 Bidor Deputi Superintendan S Sivanganam berkata, PATI itu masuk dengan mengangkat pagar dan menyusup seorang demi seorang berhampiran pos M2, di sini.
“Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai mempunyai kaitan keluarga dan tidak memiliki dokumen perjalanan masuk ke negara ini.
“Daripada jumlah itu, 12 adalah lelaki dewasa berusia antara 19 hingga 42 tahun manakala wanita antara 16 hingga 47 tahun serta lapan kanak-kanak, termasuk bayi antara tiga bulan hingga tujuh tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sivanganam berkata, pihaknya mempunyai masalah komunikasi mendapatkan maklumat berkaitan kumpulan itu disebabkan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan Malaysia.
Beliau berkata, disebabkan itu sukar mengetahui dari mana mereka masuk dan siapa membawa mereka ke kawasan itu untuk menyeludup masuk ke negara ini.
“Namun kita tidak menolak kemungkinan mereka datang dari Turki menaiki kapal laut bersama 62 PATI yang ditahan sebelum ini.
“Kumpulan ini mungkin bergerak berasingan mengikut tekong berikutan penemuan tali biru diikat pada tangan mereka.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.
“Ini tangkapan kedua membabitkan kumpulan PATI warga Turki.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

No comments:

Post a Comment