Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Lagi bayi maut di rumah pengasuh


PUTRAJAYA 4 Mac - Hari kedua menghantar bayi ke rumah pengasuh di Presint 18 di sini menjadi episod ngeri buat sepasang suami isteri apabila anak mereka yang berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.20 petang itu, bayi malang tersebut, Muhammad Niyyaz Firash Mohamad Zaidi dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya dalam keadaan sihat.
Bapa bayi tersebut, Mohamad Zaidi Masri berkata, hari ini kali kedua anak tunggalnya itu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan dan tidak menyangka perkara buruk akan menimpa keluarganya.
Mohamad Zaidi memberitahu, isterinya menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memaklumkan muka Muhammad Niyyaz Firash kelihatan pucat dan mengalami sesak nafas.
"Dia terus bawa anak saya ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan pada pukul 2.30 petang saya diberitahu oleh doktor bahawa Muhammad Niyyaz Firash telah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan awal doktor memaklumkan anak saya tersedak susu kerana terdapat sejumlah susu di bahagian paru-paru, bagaimanapun itu hanya jangkaan awal kerana keputusan bedah siasat belum dikeluarkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang bertugas sebagai seorang guru memberitahu, anaknya dijaga oleh pengasuh kerana taska tidak mengambil bayi yang berumur tiga bulan.
Jenazah Muhammad Niyyaz Firash dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Presint 20 malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
"Ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian bayi berkenaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_03/Lagi-bayi-maut-di-rumah-pengasuh#ixzz2v2DL9huB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment