Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Kes keracunan makanan makin serius


Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Kes keracunan makanan di bandar raya ini semakin serius apabila 101 orang dilaporkan mendapatkan rawatan sejak Sabtu lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas pesakit terbabit dijangkiti bakteria Salmonella yang kebanyakannya terdapat pada ayam serta telur haiwan itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sehingga semalam seramai 101 orang mendapat rawatan di hospital dan seorang pesakit berusia lima tahun meninggal dunia kelmarin.

Menurutnya, sehingga semalam, 68 pesakit dimasukkan ke dalam wad termasuk 18 kanak-kanak dan daripada jumlah terbabit, lapan pesakit dibenarkan keluar wad manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

“Kebanyakan kes ini kita dapati hampir keseluruhannya dijangkiti bakteria Salmonella yang terdapat pada ayam serta telurnya yang dimasak dalam nasi goreng putih dan merah, kuetiau serta mi goreng yang dijual di pasar malam Dataran Shahbandar serta Jalan Hiliran.

“Semua sampel najis diambil menunjukkan pesakit terkena jangkitan bakteria Salmonella dan kebanyakan pesakit berasal dari Kuala Terengganu serta Marang,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pesakit dalam wad terbabit kini dilaporkan stabil.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/05

No comments:

Post a Comment