Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Kes bunuh budak ke Mahkamah Tinggi


KUALA LUMPUR 19 Mac - Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini memerintahkan kes seorang peniaga yang dituduh membunuh anak teman wanitanya berusia dua tahun di Taman Rimba Komanwel sebelum mayatnya ditanam di kawasan hutan di Gunung Brinchang, Cameron Highlands tahun lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balqish Syed Agil yang mengendalikan pendakwaan kes tersebut.
Mohd. Hisham Mat Yunus, 43, didakwa membunuh Muhamad Umar Haiqal Mohd. Hazlee di bilik B-006, Commonwealth Forest Park & Resort (Taman Rimba Komanwel) KM 23, Jalan Kuala Lumpur-Rawang dekat sini antara pukul 2 petang, 9 Mei 2013 dan 4.30 pagi, 2 Jun 2013.
Tertuduh yang yang diwakili peguam, Isad Mohamad didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Lelaki itu yang berkaca mata hadir dengan memakai seluar jeans panjang dan baju T.
Sebaik sahaja prosiding tamat, dua wanita dipercayai ahli keluarga tertuduh dilihat bercakap sesuatu serta menutup kepala tertuduh dengan baju panas berwarna putih ketika lelaki itu dibawa keluar dari mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun didakwa dipukul sehingga mati oleh teman lelaki ibunya dan mayat mangsa ditanam di kawasan hutan di Gunung Brinchang, Cameron Highlands.
Kejadian tersebut terbongkar selepas ibu mangsa dapat melarikan diri daripada kurungan kekasihnya sebelum membuat laporan polis pada 18 Jun tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140320/ma_01/Kes-bunuh-budak-ke-Mahkamah-Tinggi#ixzz2wRnAKYe4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment