Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Kereta terbalik akibat dirempuh


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2014

Kereta terbalik akibat dirempuh
 Keadaan kereta Toyota Vios yang terbalik akibat dirempuh sebuah Perodua MyVi dalam kejadian semalam.



KEPONG - Dua wanita melalui detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah Perodua MyVi di persimpangan lampu isyarat berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, rempuhan kuat menyebabkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki wanita berkenaan terbalik dan mangsa terperangkap selama beberapa minit sebelum dibantu keluar oleh orang awam.

Sumber memaklumkan, kejadian berlaku apabila pemandu Toyota Vios tidak sempat memberhentikan kenderaan meskipun lampu isyarat telah bertukar merah.

“Pemandu tersebut dari arah Kuala Lumpur mahu masuk ke arah Selayang sementara pemandu Perodua MyVi pula dari arah Kepong menuju ke Kuala Lumpur.

“Pemandu Perodua MyVi memulakan pemanduan selepas lampu isyarat bertukar hijau dan gagal mengelak Toyota Vios yang ketika itu mahu masuk ke simpang Selayang menyebabkan berlakunya pelanggaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu Toyota Vios dan penumpang hanya mengalami cedera ringan sementara pemandu Perodua Myvi berusia lewat 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan tersebut menjadi perhatian orang awam yang memberhentikan kenderaan untuk melihat kejadian dan berlaku kesesakan lalu lintas.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal patah kaki kiri selepas terjatuh sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga di jejambat MRR2 berhampiran kuil Batu Caves di sini.

Difahamkan, penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 30-an itu gagal mengawal pemanduan disebabkan jalan licin akibat tumpahan air sampah di laluan itu sebelum dilanggar pemandu Proton Saga.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment