Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Kereta pencuri kabel terbabas masuk parit

MOHD TAHA YAACUB
Kereta pencuri kabel terbabas masuk parit
Kereta Proton Wira dinaiki suspek terbabas di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan. - Foto Sinar Harian 
19 Mac 2014
BESUT - Seorang lelaki dipercayai pencuri kabel tumpas selepas Proton Wira dinaikinya bersama dua rakan terbabas apabila cuba melarikan diri dari tiga kereta peronda polis (MPV) membabitkan laluan sejauh hampir 100 kilometer, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi, suspek berusia 26 tahun dan beralamat di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, diberkas selepas kereta dinaikinya bersama dua rakan yang masih bebas, terbabas ke dalam parit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil maklumat orang awam, sebelum kejadian, kakitangan keselamatan Telekom Malaysia (TM) Bhd mengesan kereta tersebut selepas suspek dipercayai mencuri kabel TM dekat kilang papan Kampung Baharu, Kuala Besut.

Menurutnya, kakitangan keselamatan TM seterusnya mengejar kereta itu sehingga ke Kampung Alor Lintah dan melalui Kampung Raja sebelum dikejar pula pihak polis.

“Kereta dipercayai dinaiki tiga lelaki itu menuju sehingga ke Fikri, Setiu seterusnya melalui Kampung Guntung sebelum berpatah balik ke arah Jertih.

“Suspek nekad melarikan diri melalui jalan Kampung Air Terjun, Bukit Awang dan memasuki sempadan Kampung Bukit Awang terus ke Sungai Petai di Pasir Puteh, Kelantan,” katanya.

Noorzainy berkata, kereta peronda Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh turut membantu dengan bertindak menghalang kereta berkenaan sebelum ia terbabas ke dalam parit kira-kira jam 6 pagi.

Bagaimanapun katanya, dua suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan tidak dapat dikesan, namun seorang daripadanya berjaya diberkas.

“Polis turut merampas segulung kabel sepanjang kira-kira 20 meter. Suspek yang tidak sempat melarikan diri itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine (pil kuda). Kita juga yakin dengan tertangkapnya suspek ini, kita dapat menyelesaikan banyak kes kecurian kabel TM di daerah ini,” katanya.

Kata Noorzainy lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment