Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Kereta hangus cetus tanda tanya


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mac 2014

Kereta hangus cetus tanda tanya
Kereta hangus cetus tanda tanya Nazri meneliti keadaan kereta jenis Perodua Viva yang hangus terbakar dan ditinggalkan di bawah Jambatan Kuala Kurau lebih dua minggu lalu.



KUALA KURAU - Keterujaan sekumpulan kaki pancing melampias hobi berhampiran Jambatan Kuala Kurau terbantut setelah menemui sebuah kereta hangus ditinggalkan di bawah jambatan itu.

Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, saksi kejadian hanya dikenali Nazri ,23, berkata, dia dan empat lagi rakannya yang sedang menyusuri laluan bawah jambatan itu untuk ke lokasi memancing, terkejut menemui sebuah kereta hangus ditinggalkan dalam semak berhampiran.

Menurutnya, berikutan penemuan itu, dia bersama rakan-rakannya terpaksa membatalkan hasrat memancing disebabkan rasa bimbang insiden kereta terbakar mungkin disebabkan perbuatan jenayah.

“Memandangkan lokasi penemuan kereta terbakar itu agak terlindung dan dipenuhi semak-samun, kami bimbang suspek yang membakarnya masih berada berdekatan kawasan itu.

“Justeru, kami segera meninggalkan lokasi itu, tambahan pula keadaan di situ agak sunyi memandangkan tiada kediaman penduduk berdekatannya,” katanya sewaktu ditemui di sini, semalam.

Nazri berkata, sejurus meninggalkan lokasi kejadian, dia segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau.

“Laporan dibuat disebabkan saya bimbang kemungkinan kebakaran kereta itu turut membabitkan nyawa individu lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kereta jenis Perodua Viva itu dibakar individu tidak bertanggungjawab dan ditinggalkan dalam semak di bawah Jambatan Kuala Kurau hampir dua minggu lalu.

“Siasatan pihak kami ke lokasi kejadian mendapati kereta jenis Perodua Viva itu hangus sepenuhnya, nombor enjin dan casis hilang dimamah api dan keadaan ini menyukarkan polis mengenal pasti pemiliknya.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis meminta mana-mana individu yang mengalami kehilangan kereta jenis Perodua Viva agar tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment