Search This Blog

Tuesday, March 25, 2014

Keluarga mangsa MH370 meraung


REUTERS
WANITA ini menjerit ke arah jurukamera selepas berita MH370 disahkan terhempas.


BEIJING - Ahli-ahli keluarga penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di China meraung dan meratap kesedihan selepas dimaklumkan kapal terbang yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di Lautan Hindi, lapor Sky News semalam.
Seorang ahli keluarga penumpang dilihat menangis selepas mengetahui berita itu diumumkan di televisyen dan dia juga terpaksa dipapah keluar oleh orang ramai.
Seorang lagi waris penumpang yang sedang menangis terjatuh di eskalator selepas mendengar berita tersebut di Hotel Lido di sini di mana semua ahli keluarga penumpang berkumpul.
Seorang saksi berkata, dia melihat beberapa waris penumpang menangis dan ada antara mereka menenangkan ahli keluarga masing-masing serta ada seorang wanita yang meraung selepas mendengar berita itu.

REUTERS
SEORANG anggota keluarga penumpang pesawat MH370 menutup mukanya dengan kedua-dua tangannya.


Pihak MAS menyatakan, ia kini membuat rumusan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa pesawat MH370 telah hilang dan tiada mangsa yang terselamat.
Pengumuman itu yang dihantar kepada anggota keluarga penumpang dan kru MH370 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dilihat oleh wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Penerbangan MH370 milik MAS yang membawa 239 orang hilang selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Seorang wanita pengsan dan melutut sambil menangis dengan berkata: "Anak saya! Anak saya".
Anggota-anggota pasukan perubatan tiba di hotel tersebut dengan beberapa pengusung.
Seorang lelaki tua turut dibawa keluar dari bilik persidangan setelah pengumuman menerusi televisyen tersebut manakala muka lelaki itu ditutup dengan jaket.
Beberapa minit kemudian seorang wanita pertengahan usia dibawa keluar dengan dengan satu lagi pengusung, mukanya pucat dan mata wanita itu merenung ke arah lain.

REUTERS
GAMBAR menunjukkan seorang saudara penumpang MH370 yang tidak bermaya 
di atas katil beroda ditolak seorang anggota perubatan.


Ramai di antara mereka enggan bercakap dengan wartawan yang berkumpul di hotel berkenaan.
Sebahagian ahli keluarga memarahi petugas media yang merakam situasi di situ.
Beberapa pengawal keselamatan menghalang seorang lelaki yang menendang seorang jurukamera televisyen dan menjerit: "Jangan rakam, aku pukul sampai mati!"
Dalam satu kenyataan yang dikirim MAS kepada keluarga menyatakan: "Kami terpaksa membuat andaian pesawat itu telah hilang."
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini percaya pesawat itu sengaja dilencongkan oleh seseorang yang menaiki kapal terbang itu.
Bagaimanapun, ketiadaan bukti kukuh telah mencetuskan banyak spekulasi dan teori konspirasi serta menyebabkan keluarga mangsa merana.
Beberapa teori utama termasuklah rampasan, sabotaj oleh juruterbang atau krisis di udara yang menyebabkan kru penerbangan tidak sedarkan diri dan menyebabkan pesawat itu terbang menggunakan alat automatik sehingga kehabisan minyak. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2wvKS4BHQ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment