Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Kedai alat ganti kereta terbakar


KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
29 Mac 2014

Kedai alat ganti kereta terbakar
Kedai alat ganti kereta terbakar Kedai menjual alat ganti kereta yang terlibat dalam kebakaran, awal pagi semalam.



SEREMBAN - Seorang pengusaha kedai alat ganti kereta kerugian kira-kira RM500,000 apabila kedai milik keluarga yang diusahakan sejak 30 tahun lalu di Jalan Seng Meng Lee, Temiang, dekat sini, hangus dalam kejadian awal pagi semalam.

Isteri kepada pemilik kedai berkenaan yang ingin dikenali sebagai Puan Oh berkata, dia yang menetap di Kepayang Height, di sini tidak menyangka panggilan telefon daripada ibunya lebih kurang jam 4 pagi itu membawa perkhabaran duka.

“Memang sukar hendak percaya. Saya sangka, ibu cuba membuat jenaka ‘April Fool’ pagi-pagi. Kalau tidak pun, mungkin ini hanya mimpi dan semuanya akan kembali normal apabila terjaga.

“Malangnya, berita disampaikan ibu memang benar-benar berlaku. Hancur luluh hati saya dan suami apabila melihat tingkat atas kedai hangus depan mata,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Oh berkata, ibunya mengetahui kejadian berkenaan daripada salah seorang rakannya yang menjalankan perniagaan kedai kek, tidak jauh dari lokasi kebakaran.

“Kerugian dianggarkan sekitar RM400,000 hingga RM500,000 memandangkan kesemua alat ganti kereta yang disimpan di bahagian atas kedai musnah. Punca kebakaran sedang disiasat oleh pihak bomba.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana pihak bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian bawah kedai.

"Saya tidak dapat bayangkan, apa akan terjadi sekiranya dua tong gas digunakan untuk kerja-kerja mengimpal meletup akibat terkena api,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Azlee Mohd Arus berkata, dua jentera bomba membabitkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.20 pagi.

“Sejurus tiba, kita dapati api sedang marak di tingkat atas kedai dan perlu mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk dikawal, sebelum dipadamkan sepenuhnya kira-kira 18 minit kemudian.

“Pada masa sama, kita turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Senawang yang menghantar satu jentera dan tiga anggota,” katanya yang menjelaskan tiada kehilangan nyawa dilaporkan berikutan premis tidak berpenghuni semasa kebakaran berlaku.

No comments:

Post a Comment