Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Kapal asing berlabuh secara haram ditahan


JOHOR BAHARU 5 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Baharu menahan sebuah kapal asing disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, Pontian hari ini.
Ketua Penguat Kuasanya Kapten Maritim Aminuddin Abd Rashid berkata pihaknya mengesan kapal itu dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 3.5 batu nautika Tenggara Pulau Kukup, Pontian, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal yang ditahan gagal memaklumkan ketibaannya dalam perairan Malaysia serta bersauh di luar batas pelabuhan, yang membahayakan kapal-kapal melalui satu daripada laluan laut paling sibuk di dunia itu.
Siasatan lanjut turut mendapati kapal itu pernah ditahan oleh APMM Tanjung Sedili sebelum ini di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi pada 14 Sept lepas kerana melakukan kesalahan yang sama.
“Ini menunjukkan mereka masih berdegil dan tidak mematuhi undang-undang maritim negara ini dan pihak kita akan mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas mereka," katanya dalam kenyataan di sini.
Kapten dan dua pegawai kapal berkenaan turut dibawa ke ibu pejabat APMM Johor Baharu untuk siasatan lanjut.
Kapal yang didaftarkan di Hai Phong, Vietnam itu mempunyai 17 anak kapal warganegara Vietnam berumur antara 23 hingga 59 tahun.-BERNAMA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_22/Kapal-asing-berlabuh-secara-haram-ditahan#ixzz2v8GgslNj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment