Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Jasad dalam lubuk


Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Mohd Hairi Azmi Tham Abdullah
Kuala Kangsar: “Kedua-dua mangsa ditemui dalam kawasan lubuk di Sungai Gading berhampiran Gunung Bubu. Berdasarkan keadaan mayat, saya percaya mereka lemas pada hari mereka dilaporkan hilang,” kata bapa saudara Muhammad Amir Ashraf Baharuddin, seorang daripada dua pelajar tingkatan lima Kolej Vokasional Padang Rengas, di sini, yang ditemui mati lemas petang semalam.

Dia yang enggan dikenali berkata, mayat Amir Ashraf ditemui selepas lebih 49 jam didapati hilang bersama tiga rakannya yang lain ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Bubu, Hutan Lipur Ulu Kenas di sini.


Dalam penemuan jam 3.30 petang, semalam itu, Allahyarham bersama seorang rakannya Adam Asraf Azman, 17, ditemui beberapa jam selepas dua lagi rakannya Muhamad Putera Rafii, 17, dan Siti Azimah Mohd Fitri, 17, dijumpai dalam keadaan selamat pada jam 9 pagi di tebing Sungai Gading 13 kilometer dari kaki Gunung Bubu.

Menurutnya, mayat Muhammad Amir dan Adam Asraf ditemui bersama dalam lubuk yang airnya sedalam 1.5 meter dan mereka dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Foto
MUHAMAD Putera Rafii (kiri) dan Siti Azimah ditemui selamat di tebing Sungai Gading.
Foto
AHLI keluarga mangsa lemas ketika di Hutan Lipur Ulu Kenas.


“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan menerima takdir, namun terkilan dengan cara pihak kolej menangani insiden terjadi.


“Banyak pertanyaan perlu dijawab kerana mengapa keempat-empat pelajar berkenaan boleh tercicir daripada kumpulan besar 21 pelajar lain serta enam guru pengiring ketika turun dari puncak gunung dan lebih membuat kami terkilan, kehilangan mereka disedari selepas kumpulan mendaki itu tiba di kaki gunung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, guru pengiring sepatutnya sentiasa memastikan semua ahli kumpulan cukup dan bergerak bersama-sama tanpa ada yang ketinggalan hingga boleh menyebabkan perkara sebegini berlaku.

“Kami terima apa terjadi dan harap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham Adam Asraf yang mahu dikenali sebagai Azman, 44, berkata, dia mengetahui aktiviti pendakian gunung disertai anak sulungnya itu, namun tidak sangka berakhir dengan tragedi.

“Kali terakhir saya menemuinya pada Ahad minggu lalu ketika menghantar pelbagai barang diperlukannya untuk mendaki, tidak sangka itu kali terakhir kami bertemu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

No comments:

Post a Comment