Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Jamu nasi kandar tarik kaki judi


Anggota polis berjaya merampas komputer perjudian semasa Ops Mesin Judi di sekitar Jalan Thambipillay, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR 4 Mac - Sebuah premis perjudian haram di Jalan Thambipillay di sini, dikesan memancing kaki judi dengan menyediakan pelbagai juadah makanan India Muslim termasuk nasi kandar secara percuma sebagai tarikan kepada pelanggan mereka.
Difahamkan, premis yang berselindung di sebalik sebuah restoran tersebut berbuat demikian bagi memastikan pelanggan mereka terus berada di situ, sehingga lewat malam, meskipun kalah teruk.
Bagaimanapun taktik pengusaha premis itu yang dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu akhirnya terbongkar apabila diserbu sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Kuala Lumpur malam tadi.
Pegawai Operasinya, Inspektor Mohd. Nor Nahar Nayan berkata, siasatan pihaknya mendapati premis tersebut menjalankan modus operandi dengan berselindung di belakang sebuah restoran India Muslim.
"Restoran itu hanya mempunyai tiga atau empat meja sahaja tetapi di bahagian dalamnya adalah sebuah premis mesin perjudian. Ramai yang tidak perasan kehadiran premis berkenaan dan hanya diketahui kaki-kaki judi serta penduduk sekitar sahaja.
"Kita percaya restoran itu pula sengaja dibuka untuk menghalang pandangan orang ramai terhadap kewujudan premis judi berkenaan.
"Malah juadah dari restoran tersebut diberikan secara percuma kepada kaki-kaki judi supaya mereka terus berjudi di situ," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mohd. Nor Nahar, dalam serbuan itu, sebanyak 54 buah mesin judi dirampas manakala lapan orang kaki judi dan seorang penjaga premis ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam serbuan premis perjudian kedua, kira-kira 20 meter dari lokasi serbuan pertama, beliau memberitahu, pihaknya menahan tujuh individu termasuk dua pekerja kedai dan merampas 43 buah mesin judi.
"Dalam kedua-dua serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM1,730 serta pelbagai resit," katanya.
yang menjurus kepada aktiviti perjudian haram," katanya yang memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(b)(a)Akta Rumah Judi Terbuka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_07/Jamu-nasi-kandar-tarik-kaki-judi#ixzz2v2E45Z7O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment