Search This Blog

Monday, March 31, 2014

Jailani: 6 kes curi talian wifi, 3 dikena tindakan


31 Mac 2014


KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima enam aduan berhubung pembekalan dan penjualan kelengkapan peranti yang berfungsi mencuri talian wifi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata daripada jumlah itu, tiga kertas siasatan dibuka dan tindakan sewajarnya telah diambil.

"Sehingga kini, tiga kes melibatkan kesalahan membekal atau menjual kelengkapan yang berfungsi mencuri talian wifi telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) pada sesi soal jawab hari ini.

Jumat ingin tahu berhubung aktiviti mencuri talian wifi dan apakah yang dilakukan kementerian bagi mengatasi kerugian di kalangan pelanggan.

Jailani berkata kebanyakan aktiviti mencuri talian wifi dikesan menggunakan peranti seperti wifi booster, sejenis gajet yang boleh menguatkan isyarat bagi menarik isyarat wifi dalam jarak antara satu hingga tiga kilometer.

Beliau berkata bagi mengelak aktiviti itu berleluasa, SKMM menjalin kerjasama dengan Sirim Berhad bagi pemantauan pemasaran secara berkala di seluruh negara bagi memastikan penjualan kelengkapan atau peranti itu dapat dibendung.

Selain itu, SKMM bersama SIRIM turut menganjurkan taklimat kesedaran mengenai kewujudan kelengkapan atau peranti komunikasi kepada pihak awam, para pemegang lesen dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang lain, katanya.

Jailani berkata kementerian memandang serius penggunaan peranti yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sambil menasihatkan pengguna agar sentiasa memastikan kata laluan disimpan dengan baik supaya tidak mudah diceroboh. - Bernama

No comments:

Post a Comment