Search This Blog

Friday, March 14, 2014

Gula-gula untuk cucu bertaburan atas jalan


Kuala Terengganu: Hasrat datuk menggembirakan cucunya dengan menghadiahkan gula-gula tidak kesampaian apabila manisan berkenaan bertaburan di atas jalan selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawanya, kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Abd Rahman Mohamad, 58, dari Taman Permint Perdana, Seberang Takir, di sini, membuat pusingan ‘U’ di Kilometer 6, Jalan Kuala Terengganu-Manir berhampiran Kampung Seberang Baroh Kiri sebelum dirempuh pikap Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kampung Durian Burong, di sini menghala ke bandar raya ini, jam 6 petang.


Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke longkang berhampiran tempat kejadian manakala motosikalnya terseret sejauh 10 meter sebelum bahagian depan kenderaan Honda Fame itu terperosok di bawah kereta diletakkan di tepi jalan di kawasan berkenaan.



Mangsa yang bekerja sebagai pemandu trak penunda mengalami kecederaan dalaman yang teruk selain remuk kaki kiri.


Sebaik dinaikkan daripada longkang, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) segera memberikan pertolongan cemas bagi menyelamatkan mangsa, namun gagal.


Saksi yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, mangsa seperti biasa dan bergurau senda dengan rakan ketika minum di sebuah kedai makan di Kampung Durian Burong, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

“Saya sungguh tidak menyangka arwah sudah tiada kerana baru sebentar tadi kami bersembang di kedai kopi dan arwah yang mesra dengan panggilan Pak Bakar gembira ketika bercerita,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Isteri mangsa, Sofiah Jusoh, 58, yang tiba di tempat kejadian tidak dapat menahan sedih dan hampir pengsan sebaik melihat suami terbujur kaku dan ditenangkan anggota JPAM. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

No comments:

Post a Comment