Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Gempar bom atas rumput


Kapar: “Saya terkejut apabila melihat sesuatu seperti bom berada atas rumput berdekatan kedai saya. Bimbang bom berkenaan meletup, saya terus menghubungi polis,” kata seorang lelaki mengenai penemuan sebutir bom tangan di persimpangan Jalan Klang Sentral/KU5 di sini, semalam.
Beliau yang enggan dikenali berkata, bom berkenaan dipercayai diletakkan individu tidak dikenali malam kelmarin sebelum ditemui pagi semalam.
Menurut lelaki itu, sebelum dia menutup kedai kelmarin, tiada sebarang objek yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Penemuan bom tangan atas rumput yang ditutupi pelepah pokok pinang itu membuatkan pengunjung dan orang ramai yang berada di kawasan itu gempar.
Foto
BOM tangan diletupkan UPB, semalam.

Ini kerana picu bom tangan berkenaan sudah ditarik individu tertentu, namun keadaan komponen berhampiran picu yang berkarat menyebabkan objek kecil berhampiran picu tidak terpelantik, sekali gus menghalang ia daripada meletup.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebutir bom tangan yang dipercayai dibawa dari luar negara ditemui dan ia didapati sudah ditarik picunya menyebabkan anggota polis terpaksa meletakkan benteng pasir sebagai langkah keselamatan. 

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dipanggil dan memaklumkan bom berkenaan perlu diletupkan.

“Pemeriksaan pegawai dan anggota UPB mendapati picu bom tangan berkenaan sudah ditarik namun ia tidak meletup kerana terdapat komponen pada bom terbabit berkarat.

“UPB menggunakan alat kawalan jauh kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk meletupkan bom tangan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, setakat ini, polis akan mengambil keterangan daripada pemilik kedai berhampiran tempat kejadian untuk mengumpul bukti dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

No comments:

Post a Comment