Search This Blog

Wednesday, March 26, 2014

Dua rumah teres terbakar

Dua rumah teres terbakar
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran dalam kejadian di Taman Arkid, Menglembu, semalam.
26 Mac 2014  IPOH - Dua rumah teres dua tingkat di Taman Arkid, Menglembu, terbakar dalam kejadian pada jam 11 pagi, semalam.

Bagaimanapun, ketika kejadian kedua-dua rumah tidak berpenghuni dan pemiliknya hanya pulang selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran berhampiran.

Penghuni rumah yang mahu dikenali sebagai Lee, 30-an berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan isterinya ketika sedang bekerja.

Menurutnya, kebakaran itu pertama kali berlaku sejak tinggal di rumah tersebut tujuh tahun lalu dan dia bersyukur kerana isteri, dua anak serta ibunya.

“Nasib baik rumah saya hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian bumbung namun saya belum melihat keadaan rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Menglembu berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pasir Puteh, Zainasrie Zainal pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.03 pagi.

Jelasnya, seramai sembilan anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dikerah ke tempat kejadian, jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Ketika tiba di lokasi, tingkat atas rumah teres dua tingkat kelas A itu terbakar dan kami segera memadam api bagi mengelakkan ia merebak ke rumah sebelah.

“Kebakaran itu berjaya dikawal 30 minit kemudian dan hanya 60 peratus sahaja yang terbakar manakala, bumbung rumah bersebelahan mengalami kerosakan kecil melibatkan lima peratus terbakar,” katanya.

Zainasrie berkata, siasatan mendapati api bermula dari bilik tidur utama di tingkat atas rumah.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagi kedua-dua rumah masih disiasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment