Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Dua penjenayah mati ditembak polis


KUALA LUMPUR 19 Mac - Dua penjenayah disyaki anggota kongsi gelap dan mempunyai rekod jenayah lampau mati ditembak polis, selepas berbalas tembakan dalam Op Cantas Khas di Ara Damansara, Kelana Jaya, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.50 malam itu, kedua-dua suspek K. Gogilan, 22, dan K. Prabu, 26, menaiki sebuah kereta Proton Wira dan cuba ditahan oleh sepasukan anggota polis untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shukri Dahlan berkata, kedua-duanya bagaimanapun enggan berhenti sebaliknya memecut untuk meloloskan diri sebelum dikejar sehingga ke sebatang jalan mati.
"Sebaik sahaja tersekat di jalan itu, suspek melepaskan tembakan. Polis terpaksa membalas sehingga mengakibatkan kedua-duanya mati.
"Hasil pemeriksaan, polis menemukan sepucuk pistol, dua bilah parang panjang, lima topeng muka serta empat pasang sarung tangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Shukri berkata, mayat kedua-dua suspek dibawa ke hospital berdekatan untuk bedah siasat.
Sementara itu, keadaan di lokasi kejadian bertukar kecoh apabila seorang wanita menjerit-jerit kerana meratapi kematian salah seorang suspek yang dipercayai ahli keluarganya.

No comments:

Post a Comment