Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Dua pekerja INSTEP maut kemalangan di Kuala Terengganu


2014/03/16 - 18:59:20
KUALA TERENGGANU: Dua pekerja kontrak Institut Teknologi Petronas (INSTEP) Batu Rakit maut setelah kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kampung Batu Rakit di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu dipercayai berlaku selepas kereta PERODUA Viva yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lori minyak yang datang dari arah bertentangan.


Akibat kemalangan itu, mangsa yang dikenali Ambrose Josing, 27, dan rakannya Olwyn Adi, 23, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketika kejadian, mangsa bersama empat lagi rakan mereka yang berasal dari Sarawak dalam perjalanan menuju ke tempat kerja mereka sebelum kereta yang dipandu Ambrose terbabas akibat jalan licin kerana hujan lebat.

Berikutan itu, kenderaan mereka memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori minyak yang datang dari arah Kota Bharu menghala Kuala Terengganu.

Bagaimanapun pemandu lori yang berasl dari Pasir Putih, Kelantan itu tidak mengalami kecederaan.

Manakala empat lagi rakannya yang berumur antara 26 hingga 33 tahun yang berada di tempat duduk belakang dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut selepas mengalami pelbagai kecederaan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat kedua sahabat itu dihantar ke HSNZ untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu menyebabkan kematian.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment