Search This Blog

Monday, March 31, 2014

Dua jam tahan sakit


“Ibu tolong abang. Kaki abang sakit sangat,” rintih Mohd Danial Amir yang menahan sakit lebih dua jam selepas kaki kanannya terjerlus ke dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, kaki Mohd Danial, 7, terjerlus ke dalam lubang tandas sehingga paras betis selepas dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil tuala mandi sebaik selesai membuang air.

Ibunya, Ita Permatasari Hamzah, 40, berkata, anaknya masuk ke bilik air untuk mandi sebelum Mohd Danial meminta dia mengambil tuala yang tertinggal di bilik.

“Saya mengambil tuala dan meletakkannya di luar pintu bilik air, namun tidak lama selepas itu saya terdengar jeritan Mohd Danial.

“Saya merentap pintu bilik air dan terkejut melihat kaki kanannya terjerlus ke dalam lubang tandas,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan suami, Amir Ali, 47, cuba menarik keluar kaki Mohd Danial, namun gagal sebelum meminta bantuan saudaranya, Mohd Sham Saibon, 48, dan menghubungi bomba.

Dia berkata, tidak sanggup melihat Mohd Danial menangis menahan kesakitan dan risau tidak dapat ke sekolah, dia memujuk bagi menenangkan anaknya itu sehingga anggota bomba tiba.

“Saya cuba pujuk dia dengan menyatakan bomba akan datang bantu dan dia tidak perlu bimbang kerana boleh ke sekolah esok (hari ini).

“Saya bersyukur kerana dia cuma luka ringan, kami menganggap kejadian itu sebagai pengajaran supaya lebih berwaspada ketika di bilik air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Air Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahril Zawani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi kami dapati kaki mangsa masih di dalam lubang tandas dan usaha mengeluarkannya agak sukar kerana lubang berkenaan terlalu curam serta boleh menyakiti mangsa.

“Selepas hampir dua jam, kami terpaksa memecahkan tandas berkenaan dengan berhati-hati supaya kaki mangsa tidak mengalami kecederaan sebelum menarik secara perlahan,” katanya.

Menurutnya, kaki mangsa dapat dikeluarkan jam 11.30 pagi dan Mohd Danial hanya mengalami luka ringan di pergelangan kaki dan tumit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

No comments:

Post a Comment